BERITA SEMASA

Usul gantung Takiyuddin 6 bulan ditangguhkan

KUALA LUMPUR – Usul untuk menggantung Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu) daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ditangguhkan selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat keputusan untuk meneliti semula beberapa perkara berkaitan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penangguhan berkenaan dibuat bagi memastikan setiap prosedur dan pertimbangan dilaksanakan secara teliti sebelum apa-apa tindakan diambil.

“Usul tersebut pada asalnya dikemukakan berikutan kenyataan Takiyuddin yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila, Terengganu dengan tragedi Memali di Baling, Kedah, ” katanya ketika menggulung usul itu di parlimen hari ini.

Kenyataan itu mencetuskan bantahan daripada pihak kerajaan yang menganggap ia tidak wajar dan boleh mengundang salah faham.

Terdahulu, sesi Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila blok pembangkang bangun membantah usul berkenaan, manakala kerajaan menegaskan tindakan perlu diambil bagi menjaga integriti dan kredibiliti institusi Parlimen.

Takiyuddin sebelum itu turut menyuarakan permintaan agar diberikan prosiding yang adil serta peluang untuk mempertahankan diri sekiranya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Usul itu dijangka dibawa semula selepas penelitian menyeluruh dilakukan oleh pihak berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button