Letusan gunung berapi Ruang boleh jejas operasi penerbangan di Kota Kinabalu
KUALA LUMPUR – Letusan gunung berapi Ruang di Sulawesi dijangka menjejaskan operasi penerbangan di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu, Sabah.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam Maklumat Keselamatan hari ini mengeluarkan amaran bahaya debu gunung berapi yang dikhuatiri memberi impak kepada penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, letusan gunung berapi itu menyebabkan terbentuknya awan debu yang bergerak menuju ke FIR Kota Kinabalu dan boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat ruang udara berkenaan.
Sehubungan itu katanya, CAAM menyarankan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat untuk memantau secara berterusan perkembangan meteorologi itu.
Katanya, orang ramai yang terlibat dalam penerbangan di kawasan berkenaan dinasihatkan sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan mengenai perkembangan letusan gunung berapi dan status terkini jadual yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan.
Terdahulu, syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Sabah serta Sarawak hari ini susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia.
Sementara itu, Malaysia Airlines dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pembatalan sekurang-kurangnya lapan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sabah dan Sarawak.
Perkembangan itu menyebabkan ribuan penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini hari susulan pembatalan penerbangan ke Kuala Lumpur akibat letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








