BERITA SEMASA

Penumpang terjejas diberi pampasan, Batik Air tangguh penerbangan ke Dubai

KUALA LUMPUR – Penerbangan Batik Air OD713 ke Dubai terpaksa dibatalkan selepas pesawat itu diarahkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan penutupan ruang udara Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Batik Air, penutupan tersebut berpunca daripada gangguan berterusan di rantau Asia Barat, sekali gus menjejaskan laluan udara komersial yang melibatkan penerbangan ke destinasi berkenaan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga dan mematuhi nasihat keselamatan serta sekatan laluan yang dikeluarkan pihak berkuasa penerbangan antarabangsa, pesawat OD713 telah diarah pulang ke pangkalan di KLIA.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal adalah keutamaan utama kami,” jelas kenyataan itu hari ini.

Sebaik tiba di KLIA, semua penumpang yang terjejas telah diberikan bantuan sewajarnya termasuk penginapan hotel, makanan serta pengangkutan darat.

Batik Air turut menawarkan dua pilihan kepada penumpang, sama ada menuntut bayaran balik penuh atau menjadualkan semula penerbangan ke tarikh yang akan datang.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa ruang udara Qatar dan UAE kini telah dibuka semula kepada trafik udara komersial, dan penerbangan ke Dubai akan disambung semula bermula Rabu, 25 Jun 2025.

“Batik Air sedang memantau perkembangan geopolitik semasa dan kekal bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pengawal selia antarabangsa dan penyedia perkhidmatan navigasi udara serantau.

“Penilaian laluan secara dinamik dan pelan kontingensi telah digerakkan bagi memastikan keselamatan dan kelangsungan operasi penerbangan kami,” katanya lagi.

Penumpang yang mempunyai perancangan perjalanan ke Dubai atau destinasi berkaitan dinasihatkan untuk merujuk laman rasmi Batik Air atau menghubungi talian khidmat pelanggan bagi mendapatkan maklumat lanjut serta bantuan penjadualan semula.

Batik Air menegaskan komitmen syarikat dalam mengekalkan tahap keselamatan tertinggi serta memberi layanan terbaik kepada pelanggan dalam segala aspek operasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button