BERITA SEMASA

Batik Air lancar laluan baharu dari Subang ke Bangkok dan Kuching

KUALA LUMPUR – Batik Air hari ini melakar sejarah baharu apabila melancarkan penerbangan antarabangsa sulungnya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (SZB) ke Bangkok, Thailand, sekali gus mengukuhkan hubungan pelancongan antara kedua-dua negara.

Penerbangan sulung berkenaan disambut dalam satu majlis ringkas namun bermakna di SZB sebagai simbolik permulaan laluan baharu yang menjadikan Bangkok sebagai destinasi antarabangsa pertama dihubungkan terus dari lapangan terbang itu oleh Batik Air.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, berkata pelancaran ini mencerminkan komitmen syarikat penerbangan itu untuk membangunkan SZB sebagai hab perjalanan strategik dan mudah diakses bagi penduduk Lembah Klang dan sekitarnya.

“Dengan pembukaan laluan ini, kami bukan sahaja memperkukuh kehadiran di Subang, malah mendekatkan lagi penumpang dengan destinasi kegemaran mereka sama ada meneroka keindahan Bangkok atau menikmati keunikan budaya di Kuching,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Bangkok, Batik Air turut melancarkan penerbangan terus dari Subang ke Kuching pada hari sama, menjadikan ia sebagai laluan kedua ke Malaysia Timur dari SZB selepas Kota Kinabalu.

Dengan penambahan dua laluan baharu itu, Batik Air kini mengendalikan lima laluan terus dari Subang termasuk Pulau Pinang, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Tawau (melalui BKI), sekali gus memperluas rangkaiannya dari lapangan terbang yang terletak hanya 20 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, menyifatkan usaha Batik Air sebagai langkah tepat dan menyokong sasaran pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Thailand merupakan salah satu pasaran utama bagi pelancongan negara, dan peningkatan sambungan udara seperti ini akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kehadiran pelancong serta menyokong pertumbuhan industri pelancongan tempatan,” katanya lagi.

Sementara itu, Tourism Selangor turut menyambut baik pelancaran laluan baharu itu dan berharap dapat menarik lebih ramai pelancong Thailand sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

“Dengan pelbagai tarikan pelancongan di sekitar kawasan lapangan terbang Subang, inisiatif ini dijangka menyumbang secara signifikan ke arah mencapai sasaran lapan juta pelancong pada tahun hadapan,” katanya lagi.

Batik Air menyeru orang ramai untuk merancang perjalanan mereka dengan memuat turun aplikasi mudah alih Batik Air atau melayari laman sesawang rasmi di www.batikair.com.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button