Batik Air tambah 11 penerbangan sempena ulang tahun ke-10 laluan Kuala Lumpur–Perth
KUALA LUMPUR – Batik Air meraikan ulang tahun ke-10 perkhidmatan Kuala Lumpur–Perth, menandakan sedekad hubungan udara yang kukuh antara Malaysia dan Australia Barat sejak laluan itu diperkenalkan pada 2015.
Batik Air berkata, laluan berkenaan kini menjadi salah satu rangkaian antarabangsa paling stabil bagi syarikat penerbangan itu, menyokong pergerakan dua hala yang konsisten melibatkan pelancong, pelajar serta komuniti perniagaan.
Bagi memperingati pencapaian itu, Batik Air mengadakan sambutan khas di Lapangan Terbang Perth termasuk pameran kenangan, hadiah eksklusif dan aktiviti kejutan untuk penumpang.
Pemangku Ketua Pegawai Komersial dan Penerbangan Perth Airport, James Gorton berkata, kerjasama jangka panjang bersama Batik Air telah membuka pintu hubungan penting antara Australia Barat dan Malaysia.
“Selama 10 tahun ini, kerjasama Perth Airport dan Batik Air telah menyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagai pasaran pelawat antarabangsa kelima terbesar bagi Australia Barat dengan perbelanjaan pelawat berjumlah AS$131 juta (RM540 jura) pada tahun kewangan 2025.
“Kami mengucapkan tahniah atas pencapaian ini dan berharap kerjasama ini terus berkembang demi kemudahan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pencapaian itu membuktikan kepentingan rangkaian udara dalam membuka peluang serta memperkukuh hubungan serantau.
“Sepuluh tahun berlalu, laluan ini kekal menunjukkan kekuatan hubungan udara dalam menghubungkan masyarakat dan merangsang pembangunan.
“Pencapaian ini bukan hanya satu detik membanggakan, tetapi permulaan kepada bab baharu untuk Batik Air.
“Fokus kami adalah untuk membina rangkaian lebih pintar dan lebih tersambung, menawarkan lebih banyak pilihan serta keselesaan kepada penumpang,” katanya lagi.
Ketika ini, Batik Air mengendalikan tujuh penerbangan terus mingguan antara Kuala Lumpur dan Perth, selain tujuh penerbangan berhenti di Denpasar, Bali.
Susulan peningkatan permintaan penumpang dan tarikan Perth sebagai destinasi pelancongan serta perniagaan, Batik Air turut mengumumkan penambahan 11 penerbangan terus tambahan sepanjang Disember 2025, sebagai komitmen memudahkan perjalanan dua hala serta merancakkan pelancongan.
Maklumat lanjut serta tempahan boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih Batik Air atau laman web rasmi syarikat itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








