Sidang Kemuncak ASEAN: Presiden FIFA dijangka adakan lawatan rasmi
KUALA LUMPUR – Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 nanti.
Menurut BERNAMA yang memetik sumber, lawatan tersebut antara lain bertujuan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembangunan bola sepak ASEAN, satu langkah yang disifatkan sebagai penting dalam memperkukuh ekosistem bola sepak di rantau ini.
Dalam jadual lawatannya, Infantino dijangka menghadiri acara rasmi dan melawat Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya, di mana wakil FIFA akan menilai kemudahan moden yang dibangunkan bagi menyokong visi jangka panjang bola sepak Malaysia.
Beliau turut dijadual melawat program Football for Schools di Kelana Jaya, satu inisiatif yang bertujuan memupuk penyertaan pelajar dalam sukan bola sepak melalui pendekatan pendidikan dan komuniti.
Lawatan itu dijangka dapat meningkatkan profil sukan bola sepak Malaysia, khususnya dalam pembangunan peringkat akar umbi serta perancangan bola sepak serantau.
Lawatan itu juga membuka peluang untuk memperkukuh hubungan strategik dengan FIFA dan mendapatkan sokongan bagi pembangunan infrastruktur, kejurulatihan serta program komuniti.
Infantino kali terakhir melawat Malaysia pada April 2019, ketika mengetuai delegasi pemimpin bola sepak untuk kunjungan hormat kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








