Hukuman FIFA ke atas FAM: AFC akan bertindak ikut peraturan
KUALA LUMPUR – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan bertindak berdasarkan Kod Tatatertib FIFA berhubung keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menghukum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menerusi satu kenyataan media oleh AFC, badan induk Asia itu menyifatkan perkara itu sebagai kesalahan amat serius.
AFC menegaskan, mereka mengambil maklum mengenai keputusan FIFA dan mengakui ia memberi kesan besar, khususnya kepada pertandingan di bawah kelolaan konfederasi berkenaan.
“AFC mengiktiraf keseriusan perkara ini dan potensi implikasi terhadap kejohanan kami. Situasi ini akan diteliti dengan teliti mengikut peraturan yang berkuat kuasa sebaik sahaja prosiding FIFA dimuktamadkan sepenuhnya,” kata AFC semalam.
Setakat ini, AFC belum mengumumkan sebarang tindakan lanjut terhadap FAM atau pemain terbabit.
Walau bagaimanapun, situasi semasa itu mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan yang bimbang kes berkenaan bakal menjejaskan penyertaan Malaysia dalam kejohanan antarabangsa.
Ketika ini, skuad Harimau Malaya sedang beraksi dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 yang dikelolakan oleh AFC di mana tujuh pemain warisan terbabit turut beraksi.
Malah, kelab tempatan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menggunakan tiga khidmat pemain warisan itu juga boleh memberi kesan kepada penyertaan skuad Harimau Selatan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.
FIFA menggantung tujuh pemain warisan babitkan Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








