Operasi mencari diteruskan selepas gempa bumi kuat di Kyushu korbankan 13 nyawa
TOKYO – Sekurang-kurangnya 13 terbunuh manakala ratusan lagi cedera selepas gempa bumi bermagnitud 6.8 melanda selatan Jepun, semalam yang turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan air kepada puluhan ribu penduduk.
Gempa bumi yang melanda Wilayah Kumamoto di pulau Kyushu, petang semalam itu turut mencatat kekuatan gegaran maksimum tujuh pada skala seismik Shindo, lapor Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan bagi mengesan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.
“Masih ada mangsa yang menunggu untuk diselamatkan dan keadaan kini adalah perlumbaan dengan masa. Kami akan mengerahkan segala usaha untuk mencari dan menyelamatkan seramai mungkin mangsa,” katanya, hari ini lapor The Guardian.
Bagi membantu operasi bantuan bencana, tentera Jepun menggerakkan 3,600 anggota serta menghantar 20 pesawat bagi menilai tahap kerosakan dari udara, manakala ratusan anggota penyelamat dari wilayah berhampiran tiba di kawasan terjejas, malam tadi.
Pasukan penyelamat memberi tumpuan kepada beberapa lokasi yang mengalami kerosakan teruk, termasuk sebuah kilang kertas di Yatsushiro selepas cerobong kilang itu runtuh.
Dua pekerja berjaya ditemui dan dikejarkan ke hospital dalam keadaan serangan jantung, manakala sembilan lagi masih dilaporkan hilang.
Satu letupan turut dilaporkan berlaku di sebuah pusat beli-belah Aeon di wilayah itu yang menempatkan kira-kira 200 premis, sejurus selepas gempa bumi.
Rakaman di lokasi menunjukkan, bahagian atas bangunan utama runtuh sebahagiannya, manakala dua wanita berusia lingkungan 20-an disahkan maut dan seorang lagi dilaporkan mengalami serangan jantung.
Jurucakap Aeon berkata, semua pelanggan dan kakitangan dipindahkan dengan segera selepas gegaran pertama, namun punca letupan masih belum dikenal pasti.
Seorang pegawai kerajaan memaklumkan, pusat beli-belah itu turut melaporkan kebocoran gas, tetapi siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















