BERITA SEMASA

Kesemua 30 rakyat Malaysia selamat tinggalkan Sudan

Dipindahkan menggunakan kapal tentera laut Arab Saudi menuju ke Jeddah

CYBERJAYA – Kesemua 30 rakyat Malaysia yang berada di Sudan sudah meninggalkan negara itu menerusi Port Sudan dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi menuju ke Jeddah.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, perjalanan merentasi Laut Merah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam.

“Kerajaan Malaysia menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih ke atas kerajaan Arab Saudi dan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan dalam menjayakan misi ini.

“Atas semangat ihsan jua, Malaysia turut memudah cara evakuasi warga Kemboja, Palestin, Filipina, Singapura, Sudan, Thailand, dan Amerika Syarikat untuk dibawa keluar dari Sudan dengan selamat di bawah usaha dan pemantauan operasi evakuasi Malaysia,” kata Wisma Putra dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia berjaya membawa 30 warga Malaysia dan 26 warga asing ke Port Sudan.

Sebelum itu, mereka terpaksa menempuh perjalanan yang sukar selama 30 jam melalui jalan darat dari Khartoum, Sudan.

Mereka terpaksa dibawa keluar ekoran konflik bersenjata yang tercetus sejak dua minggu lalu di negara itu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Setakat semalam, kira-kira 400 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 3,700 mangsa cedera dalam konflik tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button