BERITA SEMASA

Pasukan SMART di Myanmar kembali ke tanah air esok – Mohamad

NAY PYI TAW – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu mangsa gempa bumi di Myanmar akan pulang ke tanah air esok setelah operasi mereka ditamatkan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, operasi berkenaan dihentikan kerana dipercayai tiada lagi mangsa yang masih hidup terperangkap di bawah runtuhan akibat bencana alam itu, minggu lepas.

“SMART kita jumpa seorang sahaja masih hidup dan yang lainnya semua telah meninggal dunia,” katanya kepada BERNAMA sebelum mengakhiri lawatan rasmi misi kemanusiaan ke Myanmar, semalam.

Misi kemanusiaan sehari itu turut diketuai bersama rakan sejawatnya dari , Maris Sangiampongsa.

Menurut Mohamad, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Min Aung Hlaing dan Menteri Luar Myanmar U Than Shwe turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas kecekapan SMART melaksanakan operasi SAR di negara itu selain penyaluran bantuan kemanusiaan yang lain.

Mohamad berkata, perkara itu dizahirkan semasa sesi pertemuannya dengan Aung Hlaing dan Than Shwe.

Jelas beliau, pasukan SMART telah dihantar ke Sagaing, iaitu kawasan paling teruk terjejas kerana pasukan itu mempunyai kelengkapan mencari dan menyelamat mencukupi.

“Malah, saya dimaklumkan penduduk di sana sangat menghormati dan sanjung tinggi pasukan SMART kita sehingga mereka minta pasukan kita jangan kembali ke Malaysia lagi,” katanya.

Malaysia menghantar dua pesawat A400M milik tentera udara yang membawa 50 anggota dan pegawai SMART serta pasukan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ke Myanmar, bagi operasi SAR pada 30 Mac.

Operasi SAR oleh SMART berjaya mengeluarkan tujuh mangsa termasuk seorang yang masih hidup di bawah runtuhan gempa bumi di daerah Sagaing, sejak Isnin lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button