Pasukan mencari berjaya temukan kereta terjunam dalam sungai
Operasi menaikkan kenderaan sedang dilaksanakan
MUAR – Pasukan mencari berjaya menemukan kereta Proton Saga yang dilaporkan terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pagoh, di sini siang tadi.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar, kenderaan tersebut ditemukan pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Muar pukul 10.21 malam tadi.
“Kereta ditemukan kira-kira 50 meter dari tebing sungai pada kedalaman 15 meter. Kerja-kerja membawa naik kenderaan berkenaan sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Terdahulu, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.42 petang dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian lima minit kemudian.
Setibanya di lokasi, mereka mendapati kereta berwarna hitam itu dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai sedalam 12 meter.
Maklumat awal daripada saksi memaklumkan terdapat seorang mangsa yang dipercayai pemandu masih berada di dalam kenderaan terbabit.
Pasukan PPDA dari BBP Muar memulakan selaman pertama pada pukul 5.50 petang menggunakan teknik ‘arch pattern’ diikuti selaman kedua pada jam 6.40 petang bagi mengesan kenderaan tersebut.
Operasi turut disertai pasukan dari BBP Skudai dan BBP Bukit Gambir dengan kekuatan 20 anggota serta pelbagai aset termasuk dua bot fiber, manakala identiti mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








