KPM sedia pinda Polisi Perlindungan Murid – KP Pendidikan
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia mengkaji semula termasuk melakukan pindaan terhadap Polisi Perlindungan Murid Sekolah susulan kebimbangan warga pendidik terhadap penggunaan istilah tertentu dalam dokumen berkenaan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, penelitian itu turut mengambil kira maklum balas dan pandangan awam berhubung dakwaan dokumen aku janji di bawah dasar tersebut boleh membebankan pegawai serta guru dari sudut tindakan tatatertib.
Beliau berkata, polisi berkenaan bukan satu instrumen undang-undang untuk mengikat atau mengenakan hukuman tatatertib, sebaliknya ia merupakan garis panduan kesedaran dan solidariti bersama dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat.
“Polisi Perlindungan Murid bukan bertujuan mengikat sesiapa dari sudut undang-undang memandangkan undang-undang sedia ada memang sudah terpakai. Sebaliknya, ia bertindak sebagai pemangkin kesedaran dan solidariti antara guru, ibu bapa, serta masyarakat demi menjamin keselamatan murid, khususnya di sekolah,” katanya memetik laporan RTM.
Baca juga : KPM peruntuk RM808 juta tampung pertambahan murid Tahun Satu
Mohd Azam berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Mengulas isu istilah ‘wajib’ yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga pendidik, Datuk Dr. Mohd Azam menjelaskan tiada klausa khusus yang menyatakan kegagalan menandatangani dokumen berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib secara automatik.
“Penggunaan perkataan ‘mewajibkan’ itu tidak diikuti dengan sebarang klausa bahawa ketidakpatuhan menandatangani Polisi Perlindungan Murid merupakan satu kesalahan atau boleh dikenakan tindakan. Ia bukanlah satu aku janji untuk mengikat pegawai dengan tindakan tatatertib.
“Bagaimanapun, saya memahami kebimbangan ini dan ada cadangan supaya perkataan ‘mewajibkan’ diganti dengan istilah lain yang tidak nampak terlalu keras. Pada pandangan saya, cadangan-cadangan tersebut ada rasionalnya,” tambah beliau.
Mohd Azam turut memberi jaminan bahawa perbincangan lanjut akan diadakan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi mengharmonikan pelaksanaan polisi berkenaan demi memastikan keselamatan serta kebajikan guru, ibu bapa, dan murid sentiasa terpelihara sepanjang proses persekolahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








