RPM 2026-2035 tetapkan dasar 80:20, kurangkan beban tugas guru
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan pendekatan baharu menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 bagi memastikan guru dapat memberi tumpuan lebih kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, menerusi dasar 80:20 yang diperkenalkan, sebanyak 80 peratus masa guru mata pelajaran akan diperuntukkan untuk aktiviti berkaitan PdP, manakala baki 20 peratus bagi tugasan bukan PdP.
Menurutnya, langkah itu bertujuan meningkatkan keberkesanan pengajaran di samping menjaga kesejahteraan guru.
“Kesejahteraan guru dipengaruhi pelbagai faktor termasuk beban tugas di luar skop utama, persekitaran kerja, emosi serta peluang pembangunan profesional,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sehubungan itu, katanya, KPM telah melaksanakan beberapa inisiatif sejak 2023 bagi mengurangkan beban tugas guru.
Antara langkah yang diambil termasuk pelantikan seramai 20,997 sukarelawan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelaksanaan inisiatif pembantu guru MySTEP serta lantikan pembantu warden asrama sepenuh masa.
Selain itu, KPM turut memansuhkan fungsi Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) dan mengembalikan fungsi Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
Fadhlina berkata, usaha berterusan itu mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan kebajikan guru terus terpelihara, sekali gus meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








