BERITA SEMASA

KPM peruntuk RM808 juta tampung pertambahan murid Tahun Satu

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,102 bilik darjah tambahan bakal dibina di seluruh negara menerusi peruntukan kira-kira RM808 juta bagi menampung pertambahan murid Tahun Satu bagi sesi Kalendar Akademik 2027.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, sebanyak 681 projek pembinaan dilaksanakan di seluruh negara bagi memenuhi keperluan kapasiti sekolah susulan pertambahan murid.

Di Semenanjung dan Labuan, sebanyak RM668 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 524 projek membabitkan pembinaan 1,780 bilik darjah tambahan.

Daripada jumlah itu, 1,255 bilik darjah adalah bagi aliran perdana manakala 525 bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Pembinaan itu dijangka dapat menampung pertambahan 43,925 murid aliran perdana dan 5,250 murid aliran PPKI.

“Di Sarawak pula, KPM melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melaksanakan 84 projek membabitkan pembinaan 210 bilik darjah tambahan dengan anggaran kos RM81.5 juta.

“Ia merangkumi 140 bilik darjah aliran perdana dan 70 bilik darjah PPKI bagi menampung pertambahan 4,900 murid aliran perdana dan 700 murid aliran PPKI,” katanya.

Sementara itu, di Sabah, sebanyak 73 projek dilaksanakan membabitkan pembinaan 112 bilik darjah tambahan dengan anggaran kos RM58 juta.

Daripada jumlah berkenaan, 92 bilik darjah adalah untuk aliran perdana manakala 20 bilik darjah untuk PPKI, bagi menampung pertambahan 3,920 murid aliran perdana dan 200 murid PPKI.

KPM berkata, menerusi JKR selaku agensi pelaksana, projek pembinaan bilik darjah tambahan itu kini giat dilaksanakan di seluruh negara.

Beberapa projek juga sudah berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual (AOT), termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mas, SK Banggol Peradong dan SK Kampong Tengah di Terengganu.

“Projek lain dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat menjelang Disember 2026 bagi persediaan menerima pertambahan murid Tahun 1 pada sesi akademik akan datang,” katanya.

KPM berkata, pembinaan bilik darjah tambahan itu mencerminkan komitmen kerajaan terhadap agenda pendidikan negara, selain memastikan pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu berjalan lancar seperti dirancang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button