Pelantikan Naib Canselor UA tiada campur tangan pihak luar – Majlis Naib Canselor
KUALA LUMPUR – Proses pelantikan Naib Canselor universiti awam (UA) tidak membabitkan campur tangan pihak luar, sebaliknya melalui beberapa peringkat saringan dan penilaian sebelum calon dikemukakan kepada Menteri Pendidikan Tinggi.
Pengerusi Majlis Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata proses itu dilaksanakan secara berperingkat membabitkan pihak universiti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam (JKTPNCUA).
Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, proses pemilihan turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan dalam komuniti universiti bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar layak menerajui sesebuah UA.
Menurutnya, proses pelantikan itu panjang, telus dan teratur serta melibatkan pandangan KPT, staf akademik, staf pentadbiran dan pelaksana, pelajar serta alumni.
“Semua Naib Canselor yang dilantik adalah betul-betul layak. Kerana itulah kita dapat saksikan semua UA di Malaysia semakin cemerlang dan menduduki kedudukan yang baik di dunia.
“Pelajar antarabangsa pun menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama,” katanya.
Kenyataan itu susulan pandangan bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali, yang mencadangkan supaya institusi pengajian tinggi awam diberikan autonomi untuk melantik sendiri kepimpinan tertinggi masing-masing tanpa campur tangan luar.
Anuwar sebelum ini turut berpandangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu disusuli sistem tatakelola baharu yang lebih baik bagi memastikan pelantikan kepimpinan universiti awam dibuat berdasarkan keupayaan dan kewibawaan.
Mengulas lanjut, Md Amin berkata, proses pemilihan sedia ada turut membabitkan kursus dan saringan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Negara (AKEPT).
Katanya, profil bakal Naib Canselor dibangunkan AKEPT dan KPT, manakala calon perlu mengikuti kursus berkaitan kepimpinan, kewangan, perundangan serta pengurusan krisis.
“Di peringkat pengurusan universiti, saringan membabitkan Senat, persatuan akademik, jawatankuasa pengurusan, komuniti, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan alumni.
“Saringan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, calon yang melepasi semua saringan berkenaan seterusnya akan menghadiri sesi temu duga oleh JKTPNCUA.
Senarai calon yang selesai ditemu duga kemudiannya dibawa kepada Menteri Pendidikan Tinggi.
“Atas nasihat JKTPNCUA, menteri akan melantik Naib Canselor yang difikirkan sesuai untuk membawa kegemilangan kepada pihak universiti,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








