LUAR NEGARA

Letusan Gunung Dukono: Pasukan penyelamat temukan jasad pendaki hilang

JAKARTA – Pasukan penyelamat menemukan satu jasad dipercayai salah seorang daripada tiga pendaki yang hilang akibat letusan Gunung Dukono di Pulau Halmahera, semalam.

Pasukan penyelamat yang menyisir kawasan sekitar kawah gunung berapi itu menemukan jasad seorang wanita, kata ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Iwan Ramdani, tanpa menyatakan kewarganegaraannya, lapor AFP.

“Pasukan mencari dan menyelamat bersama… menemukan jasad mangsa pukul 2.30 petang (0530 GMT) bersama beg galasnya,” kata Iwan dalam satu kenyataan.

Jasad mangsa kemudian dibawa ke hospital tempatan untuk proses pengecaman, tambahnya.

Gambar yang dikongsi agensi penyelamat menunjukkan pasukan membawa beg mayat hitam menggunakan pengusung sementara menuruni gunung.

Operasi mencari baki mangsa dihentikan sementara berikutan hujan dan abu gunung berapi, dan akan disambung semula pada Ahad, kata Iwan.

Gunung berapi itu kembali meletus beberapa kali pada Sabtu, termasuk satu letusan yang memuntahkan kolum abu setinggi kira-kira tiga kilometer, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi nasional.

Letusan itu mengorbankan dua pendaki dari Singapura dan seorang dari Indonesia, kata ketua polis tempatan, Erlichson Pasaribu pada Jumaat.

Kelmarin, Erlichson dipetik sebagai berkata, para pendaki mengabaikan notis pemberitahuan di media sosial serta papan amaran yang dipasang di pintu masuk laluan pendakian supaya menjauhi kawasan itu.

Seramai 17 lagi pendaki, termasuk tujuh warga Singapura, berjaya dibawa turun dengan selamat.

Maklumat awal menunjukkan, jasad dua warga Singapura itu berada kira-kira 20 hingga 30 meter dari bibir kawah, kata jurucakap agensi mitigasi bencana nasional, Abdul Muhari dalam satu kenyataan berasingan.

Gunung berapi Dukono merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia, berada pada tahap dua dalam sistem amaran empat peringkat negara itu sejak 2008.

Pihak berkuasa turut mengenakan zon larangan sejauh empat kilometer dari kawah sejak Disember 2024, menurut ketua Agensi Geologi kerajaan, Lana Saria.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button