BERITA SEMASA

Bomba selamatkan pendaki seberat lebih 100kg cedera di Jeram Perlus

HULU LANGAT – Seorang lelaki seberat lebih 100 kilogram (kg) terpaksa dibawa turun menggunakan pengusung selepas mengalami kecederaan ketika menjalani aktiviti pendakian di Air Terjun Jeram Perlus, di sini semalam.

Mangsa, T Thaneshlu, 32, dipercayai tergelincir dan terjatuh ketika mendaki dalam kejadian semalam sehingga menyebabkan kecederaan pada kedua-dua belah kaki.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.58 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn serta BBP Ampang digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan selepas tergelincir ketika mendaki di kawasan Jeram Perlus.

“Anggota terpaksa mendaki sejauh lapan kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB) untuk sampai ke lokasi mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati mangsa disyaki mengalami patah kaki kiri selain turut cedera pada kaki kanan.

“Pasukan penyelamat kemudian memasang lower limb splint pada kaki mangsa sebelum membawanya turun menggunakan pengusung,” katanya.

Tambah beliau, operasi menyelamat menjadi lebih mencabar berikutan keadaan muka bumi yang sukar selain berat badan mangsa yang dianggarkan antara 100 hingga 110kg.

“Mangsa tidak mampu berjalan atau dipapah kerana turut mengalami kecederaan pada tangan dan kaki, menyebabkan anggota perlu menggunakan pengusung sepanjang perjalanan keluar,” ujarnya.

Mangsa akhirnya berjaya dibawa turun pada pukul 9 pagi tadi sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button