Tuduhan wanita mengandung mencuri, Lotus mohon maaf
KUALA LUMPUR – Lotus’s Malaysia mengesahkan telah mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang terbabit dalam insiden membabitkan seorang wanita hamil yang didakwa dituduh mencuri di salah satu cawangan pasar rayanya di Selayang, Selangor.
Syarikat itu memaklumkan tindakan berkenaan diambil selepas siasatan dalaman selesai dijalankan dan mendapati pengendalian insiden itu tidak memenuhi standard layanan serta perkhidmatan yang ditetapkan.
Menurut Lotus’s, pihaknya turut memohon maaf kepada pelanggan terbabit, isterinya dan keluarga atas pengalaman yang dilalui ketika membeli-belah di premis berkenaan.
“Tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah bersama kami. Kami amat kesal atas apa yang berlaku dan telah menghubungi keluarga terbabit secara langsung. Kami kekal komited untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, Lotus’s berkata, syarikat itu sedang memperkukuh garis panduan, prosedur serta latihan kepada semua kakitangan supaya standard perkhidmatan dapat dipatuhi pada setiap masa.
Pada masa sama, syarikat itu melahirkan rasa kesal terhadap gangguan peribadi dan ugutan dalam talian yang diterima pekerja serta ahli keluarga mereka susulan insiden berkenaan.
“Kami berharap semua pihak menghormati privasi, kesejahteraan dan maruah setiap individu yang terbabit serta membenarkan perkara ini diselesaikan dengan penuh persefahaman dan ihsan,” katanya.
Lotus’s turut menegaskan insiden itu menjadi peringatan kepada syarikat mengenai pentingnya setiap pelanggan dilayan dengan empati, hormat dan bermaruah, selain berjanji akan terus menambah baik mutu perkhidmatannya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dikenali sebagai Fareez, 25, mendakwa isterinya yang berusia 23 tahun dan sarat mengandung diarahkan berdiri selama kira-kira 20 minit selepas dituduh menyembunyikan barangan di dalam pakaian ketika membeli-belah di pasar raya berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

