BERITA SEMASA

DBKL perkenal lesen perniagaan maksimum tiga tahun bermula 1 Julai

PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan inisiatif lesen perniagaan maksimum tiga tahun berkuat kuasa 1 Julai depan dalam usaha memperkukuh ekosistem perniagaan bandar raya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, inisiatif tersebut bertujuan membantu komuniti perniagaan mendepani cabaran ekonomi semasa.

Langkah itu juga memberikan kestabilan bagi perancangan operasi, pengurusan dana, serta urusan pembiayaan perniagaan untuk jangka masa sederhana dan panjang.

“Pendekatan baharu ini juga selaras usaha DBKL mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, fleksibel dan responsif kepada keperluan warga kota serta komuniti perniagaan.

“Melalui pelaksanaan ini, tempoh sah laku lesen perniagaan bagi permohonan pembaharuan lesen yang berstatus lulus, boleh dipanjangkan daripada satu tahun kepada dua atau tiga tahun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Antara kategori sektor perniagaan yang layak dipertimbangkan bagi pembaharuan lesen sehingga tiga tahun ialah premis pejabat, bengkel dan kejuruteraan, lain-lain perniagaan, penternakan dan pertanian, gudang atau stor penyimpanan, hotel, pembuatan atau pengilangan perindustrian, makanan dan minuman serta tred dan perniagaan.

Hannah berkata, sebagai galakan kepada pelesen, DBKL turut menawarkan insentif potongan kadar fi lesen bagi pembaharuan lesen pelbagai tahun iaitu lima peratus untuk tempoh dua tahun dan 10 peratus bagi tempoh tiga tahun.

“Ini adalah antara inisiatif yang kita perkenalkan di Kuala Lumpur untuk memudahkan peniaga kerana kita ada lebih 95,000 pelesen.

“Setiap tahun terutamanya Disember ini, ia akan bagi tekanan kepada semua pelesen untuk pergi memperbaharui lesen, ada yang pergi cari ‘runner’ (orang tengah) kerana takut tak dapat lesen,” katanya.

Sementara itu, Fadlun berkata, pelaksanaan pembaharuan lesen pelbagai tahun dijangka dapat mengurangkan beban urusan pembaharuan tahunan, menjimatkan masa dan kos pematuhan, selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti perniagaan.

“Pada masa sama, pendekatan ini turut membolehkan DBKL memberi tumpuan lebih efektif terhadap sektor dan aktiviti perniagaan yang memerlukan pemantauan serta semakan tahunan secara lebih menyeluruh berdasarkan keutamaan penguatkuasaan dan pematuhan semasa,” katanya.

Katanya, maklumat lanjut mengenai pembaharuan lesen pelbagai tahun boleh dilayari menerusi portal eLesen DBKL di elesen.dbkl.gov.my

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button