BERITA SEMASA

DBKL perhebat tindakan terhadap kenderaan tersadai di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperhebat usaha pengurusan dan pelupusan kenderaan buruk serta tersadai di ibu negara bagi memastikan persekitaran bandar lebih bersih, selamat dan teratur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, bagi tempoh 2022 hingga 2025, DBKL menerima sebanyak 9,411 aduan berkaitan kenderaan buruk dan tersadai di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut beliau, daripada jumlah itu sebanyak 4,637 kenderaan berjaya ditarik keluar dan dibawa ke depoh DBKL untuk tindakan lanjut.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,622 kenderaan telah berjaya dilupuskan manakala selebihnya dituntut semula oleh pemilik.

“Bagi tahun 2026 sehingga Mei pula, sebanyak 1,504 lagi kenderaan berjaya ditarik keluar dan ditempatkan di depoh DBKL,” katanya selepas mengadakan lawatan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ke fasiliti Car Medic di Semenyih hari ini.

Menurut Hannah, daripada 1,504 kenderaan yang ditarik keluar tahun ini, sebanyak 367 masih dalam proses pelupusan mengikut prosedur ditetapkan.

Katanya, situasi itu menunjukkan keperluan kepada tindakan pengurusan dan pelupusan yang lebih cekap serta tersusun termasuk melalui program pelupusan secara sukarela bersama Car Medic Sdn. Bhd. yang menawarkan ganjaran tunai kepada pemilik kenderaan.

“Kenderaan terbiar bukan sahaja mencacatkan pemandangan bandar tetapi turut mengundang risiko keselamatan, vandalisme dan pembiakan nyamuk di kawasan perumahan.

“Ruang awam di Kuala Lumpur bukan tempat longgokan kenderaan terbiar. Bandar raya yang bersih dan selamat memerlukan tindakan tegas serta kerjasama semua pihak,” katanya lagi.

Tambah beliau, isu berkenaan turut dibangkitkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi memperkukuhkan penyelarasan antara DBKL dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam pada itu, DBKL turut mengambil langkah lebih proaktif bagi mempercepatkan proses pelupusan yang sebelum ini mengambil tempoh agak panjang.

Antara usaha sedang dilaksanakan ialah membolehkan proses pelupusan dijalankan terus melalui Mahkamah Majistret DBKL dengan kehadiran pihak JPJ bagi mengesahkan laporan siasatan berkaitan kenderaan terbabit.

Langkah tersebut dijangka dapat memendekkan tempoh pelupusan serta mempercepatkan tindakan terhadap kenderaan buruk dan tersadai di sekitar ibu negara.

Menurut Hannah, pengurusan bandar yang baik bukan hanya tertumpu kepada projek mega, sebaliknya melibatkan tindakan konsisten terhadap isu harian yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

“Rakyat berhak menikmati persekitaran bandar yang bersih, selamat dan teratur,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button