BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kes pijak al-Quran: Reman suspek disambung, kertas siasatan dirujuk Peguam Negara hari ini

KUANTAN – Tempoh tahanan reman seorang lelaki tempatan yang ditahan kerana disyaki memuat naik foto memijak al-Quran di media sosial disambung selama tiga hari lagi bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sebelum ini polis suspek direman bermula 25 Februari sehingga 28 Februari lalu bagi membantu siasatan kes penularan foto al-Quran dipijak di media sosial.

Menurut beliau, susulan itu perintah tahanan reman telah disambung bermula 1 Mac sehingga 3 Mac ini bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan.

“Kes berkenaan diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 62 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berhubung isu penularan foto tersebut manakala 43 individu telah dirakam percakapan sebagai saksi bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada hari ini bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti agama.

PDRM menegaskan siasatan akan dijalankan secara telus, profesional dan adil serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian dan keamanan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button