Enam lelaki Rohingya didakwa kes samun gudang bahan binaan RM200,000
AYER KEROH – Enam lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan di sebuah gudang penyimpanan bahan binaan di Sungai Udang yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM200,000.
Bagaimanapun, prosiding di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin terpaksa ditangguhkan selepas kesemua tertuduh gagal memahami pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.
Tertuduh ialah Noor Kamal Innamin, 38; Ziaur Rahman, 21; Mohammed Hussain Mhammed Rofique, 24; Mohd Sharif Mohd Arif, 23; Mohd Anis Shaf Uddin, 18; dan Mohamad Esaak Aman Ullah, 29.
Dalam prosiding yang bermula pada pukul 10 pagi itu, hanya seorang daripada tertuduh memaklumkan bahawa dia memahami sedikit bahasa Melayu, manakala lima lagi tidak memahami sama ada bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan seorang jurubahasa yang fasih dalam bahasa Myanmar hadir untuk membantu proses perbicaraan.
Sebelum ini media melaporkan, keenam-enam lelaki terbabit ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun di sebuah gudang penyimpanan bahan binaan di Sungai Udang pada bulan lalu yang menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















