BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Remaja positif dadah ditahan selepas samun

LAHAD DATU – Tindakan pantas polis membawa kepada penahanan dua remaja lelaki dalam tempoh kurang 24 jam selepas dipercayai terlibat dalam satu kes samun terhadap seorang lelaki tempatan di Lorong Kiosk Dataran Palma, di sini, semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, kejadian berlaku sekitar pukul 11.30 malam ketika mangsa berusia 47 tahun sedang berada di kawasan tersebut sebelum didatangi dua suspek yang bertindak agresif.

“Suspek bukan sahaja cuba mencederakan mangsa, malah turut melarikan dokumen peribadi serta wang tunai milik mangsa. Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal dijalankan membawa kepada kejayaan menahan kedua-dua suspek berhampiran lokasi insiden.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua remaja itu positif dadah. Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan kekerasan,” tambahnya.

Superintendan Jimmy menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap jenayah yang mengancam keselamatan masyarakat dan akan terus memperhebatkan tindakan penguatkuasaan di kawasan terlibat.

“Kami menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis. Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” tegasnya.

Mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dalam kejadian tersebut, dan siasatan lanjut masih diteruskan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button