BERITA SEMASALUAR NEGARA

2 maut, 18 cedera dalam pesawat terhempas di gudang

CALIFORNIA – Dua individu maut manakala 18 lagi cedera apabila pesawat ringan terhempas di atas bumbung sebuah gudang berhampiran Lapangan Terbang Perbandaran Fullerton, Amerika Syarikat, semalam.

Menurut pihak polis, insiden berlaku sekitar pukul 2 petang waktu tempatan, menyebabkan kebakaran besar yang menghasilkan kepulan asap tebal kelihatan dari jauh.

Pasukan bomba dan polis segera dikejarkan ke lokasi kejadian di blok 2300, Raymer Avenue sebagai tindak balas terhadap empat penggera kebakaran yang aktif.

Puluhan pekerja di dalam gudang itu berjaya dipindahkan, manakala api berjaya dipadamkan beberapa jam kemudian.

Seorang pekerja, Jerome Cruz berkata, dia sudah lama menjangka kejadian seperti itu akan berlaku.

“Saya sudah lima tahun bekerja dengan syarikat ini dan setiap hari ada pesawat melintasi kawasan ini.

“Saya pernah cakap, ‘suatu hari nanti ia pasti jatuh di atas bumbung kita’ dan hari ini ia benar-benar berlaku,” katanya.

Sementara itu rakaman kamera keselamatan menunjukkan detik pesawat itu terjunam secara senget ke arah gudang sebelum berlaku letupan besar disusuli asap hitam berkepul-kepul.

Dalam satu video lain, seorang mangsa dilihat melarikan diri dengan lengan terbakar.

Rakaman CCTV menunjukkan kebakaran yang berlaku sejurus selepas nahas.

Daripada 18 mangsa yang cedera, 10 dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala lapan lagi menerima rawatan di tempat kejadian.

Pesawat terbabit dikenal pasti sebagai Van’s RV-10, sebuah pesawat enjin tunggal, lapor Abc7.com

Ia dikatakan sedang dalam perjalanan kembali ke lapangan terbang sebelum terhempas kira-kira 300 meter dari landasan.

Menurut laman web FlightAware, pesawat itu berlepas pada pukul 2.07 petang waktu tempatan dan terhempas hanya dua minit kemudian.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada dua individu yang maut berada di dalam pesawat atau di gudang ketika kejadian.

Kejadian ini menarik perhatian Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) yang kini sedang menjalankan siasatan lanjut.

Insiden itu bukanlah yang pertama di kawasan tersebut.

Pada November lalu, dua individu cedera apabila sebuah pesawat kecil mendarat cemas berhampiran kawasan itu.

Polis menggesa orang ramai agar menjauhkan diri daripada lokasi kejadian untuk memberi laluan kepada siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button