BERITA SEMASA

Jangan sekadar ‘Made in Malaysia’, jadikan produk ‘Made by Malaysia’ – KJ

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu beralih daripada sekadar menjadi lokasi pengeluaran kepada negara yang mampu mencipta nilai, teknologi dan inovasi sendiri bagi memastikan manfaat pelaburan asing dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kekuatan sumber asli dan kedudukan strategik Malaysia perlu dimanfaatkan untuk membangunkan keupayaan industri tempatan, bukannya bergantung semata-mata kepada pelaburan yang hanya menggunakan sumber negara.

Beliau berkata, aspirasi negara perlu melangkaui konsep Made in Malaysia kepada Made by Malaysia iaitu menghasilkan produk, teknologi dan penyelesaian yang turut mencerminkan keupayaan serta kepakaran tempatan.

“Malaysia mempunyai banyak kelebihan yang dikurniakan Tuhan, termasuk kedudukan geografi yang strategik, minyak dan gas, sektor perladangan serta industri elektrik dan elektronik (E&E), khususnya di Selangor dan Johor.

“Namun, kita perlu membawa kelebihan itu ke tahap seterusnya. Kita mahu nilai ekonomi diwujudkan di sini, bukan sekadar produk dibuat di Malaysia, tetapi dihasilkan oleh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog sempena program iFUTURE 2026 – Special Series bertemakan Towards Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Menurut Khairy, Malaysia perlu memastikan pelaburan berteknologi tinggi, termasuk pembangunan pusat data, memberikan manfaat ekonomi yang lebih besar kepada negara melalui penciptaan nilai, pembangunan kepakaran dan pengukuhan ekosistem teknologi tempatan.

Katanya, pusat data tidak seharusnya hanya menggunakan bekalan tenaga dan air negara tanpa menghasilkan manfaat yang setimpal kepada ekonomi tempatan.

“Jika pusat data dibangunkan di sini, jangan biarkan ia hanya menggunakan tenaga dan air kita. Sebaliknya, manfaatkan kuasa pengkomputeran itu untuk mencipta nilai di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu penting ketika dunia menyaksikan peningkatan pelaburan besar-besaran dalam kecerdasan buatan (AI), pusat data dan infrastruktur digital oleh syarikat teknologi global.

Menurutnya, persaingan untuk menguasai AI bukan sahaja berkaitan pembangunan teknologi, malah melibatkan penguasaan pasaran, infrastruktur dan rantaian bekalan yang bakal menentukan kedudukan ekonomi negara pada masa depan.

Justeru, Malaysia perlu membangunkan keupayaan sendiri supaya tidak sekadar menjadi pengguna teknologi yang dicipta negara lain.

Khairy turut menegaskan bahawa daya tahan negara merupakan kunci untuk menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan perubahan ekonomi global.

Katanya, Malaysia mempunyai kelebihan untuk memainkan peranan penting dalam ekonomi dunia berikutan kedudukannya berhampiran Selat Melaka, laluan perdagangan maritim strategik, selain memiliki sumber asli dan sektor perindustrian yang pelbagai.

Beliau berkata, kelebihan itu perlu disokong dasar yang mampu menarik pelaburan berkualiti, membangunkan bakat tempatan dan meningkatkan keupayaan inovasi.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan golongan muda supaya bersedia mengambil alih tanggungjawab kepimpinan bukan sahaja dalam kerajaan, malah dalam sektor akademik dan perniagaan.

Menurutnya, generasi muda perlu memiliki daya tahan, kepimpinan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan supaya Malaysia dapat menghadapi cabaran abad ini.

“Jika kita membina daya tahan dan mengamalkan prinsip Malaysia bukan musuh kepada sesiapa, sebaliknya sahabat kepada semua, saya percaya negara akan berada pada kedudukan yang baik untuk berjaya pada abad ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button