Malaysia tekad kukuh kerjasama pertahanan serantau di Dialog Shangri-La 2025
SINGAPURA – Malaysia menzahirkan komitmen teguh terhadap keselamatan dan kestabilan serantau apabila menyertai Dialog Keselamatan Asia IISS Shangri-La ke-22 (SLD 2025) yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu di Hotel Shangri-La, di sini.
Delegasi negara diketuai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang mengambil bahagian dalam pelbagai pertemuan dua hala dan pelbagai hala bersama pemimpin pertahanan dari seluruh dunia.

Dialog yang dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) itu menghimpunkan menteri-menteri pertahanan, pegawai tertinggi tentera dan wakil kerajaan dari rantau Asia Pasifik dan Eropah untuk membincangkan isu-isu keselamatan serantau dan global.
Datuk Seri Khaled memanfaatkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh peranan kepimpinan ASEAN dalam menangani cabaran keselamatan di rantau ini, khususnya membabitkan krisis di Myanmar dan pertikaian di Laut China Selatan.
“Malaysia menegaskan kepentingan semua pihak mendukung nilai ASEAN dan menolak politik blok atau ‘sphere of influence’ yang boleh mengancam kedaulatan dan kestabilan rantau,” katanya dalam sesi libat urus bersama Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, dan rakan sejawat ASEAN.
Malaysia turut menyertai pertemuan Menteri-Menteri Pertahanan negara anggota Five Power Defence Arrangements (FPDA) yang terdiri daripada Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.
Pertemuan itu mengukuhkan semula komitmen lebih 50 tahun dalam kerjasama pertahanan pelbagai hala.
Selain itu, Khaled turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Singapura, Sweden, Perancis, Jepun dan Australia. Kesemua pemimpin menyatakan kesediaan untuk memperluas kerjasama dalam bidang seperti keselamatan maritim, latihan ketenteraan dan pembangunan teknologi pertahanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan Perutusan Khas yang menyentuh strategi Asia Tenggara dalam memperkasakan kerjasama serantau, ketahanan ekonomi serta mempertahankan autonomi ASEAN dalam menghadapi cabaran global.
Perdana Menteri menegaskan pendirian Malaysia yang berkecuali, adil dan inklusif dalam menangani krisis serantau.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pertahanan turut mengiringi Perdana Menteri dalam pertemuan bersama Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat dan Presiden Global Boeing, Dr. Brendan Nelson AO.
Pertemuan itu membuka ruang kerjasama baharu dalam industri pertahanan serta membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi pertahanan negara.
Penyertaan Malaysia dalam SLD 2025 sejajar dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara yang menekankan perkongsian berwibawa dalam hubungan pertahanan antarabangsa bagi menjamin kedaulatan negara dan keamanan sejagat.
Turut serta dalam delegasi ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud; Ketua Eksekutif MiDAS, Lt. Jen. Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri dan Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dari Markas ATM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








