Ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global – Amir Hamzah
KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang kukuh meskipun berdepan pelbagai cabaran global termasuk konflik geopolitik, tekanan inflasi dan ketidaktentuan pasaran antarabangsa.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi ekonomi negara kekal memberangsangkan dengan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama 2026 dan dianggarkan meningkat kepada 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini.
Menurut beliau, pertumbuhan tersebut didorong oleh permintaan domestik yang mampan serta perkembangan positif dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pembinaan.
“Pada separuh pertama tahun 2026, jumlah perdagangan Malaysia mencecah RM1.8 trilion manakala eksport berkembang 27.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus menyumbang kepada lebihan dagangan sebanyak RM147.1 bilion,” katanya ketika merasmikan Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Beliau berkata, pencapaian tersebut membuktikan daya saing berterusan perniagaan Malaysia, ketahanan industri berorientasikan eksport serta keyakinan rakan dagang global terhadap negara ini.
Amir Hamzah turut berkata, Malaysia berjaya meningkatkan kedudukan dalam World Competitiveness Ranking 2026 apabila berada di tangga ke-15 daripada 69 ekonomi dunia berbanding kedudukan ke-23 tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sistem percukaian yang cekap, saksama dan diyakini merupakan tunjang penting kepada kelestarian fiskal negara.
Menurutnya, hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2026 diunjurkan mencecah RM343.1 bilion yang akan digunakan untuk menyokong pelaburan dalam sektor pendidikan, kesihatan, infrastruktur, keselamatan dan perlindungan sosial.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh ketelusan, kecekapan dan integriti sistem percukaian melalui pelbagai reformasi serta inisiatif pendigitalan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing sebagai destinasi pelaburan.
Pada masa sama, Amir Hamzah mengiktiraf peranan penting Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam menyokong pembangunan negara apabila agensi itu berjaya mencatat kutipan cukai tertinggi dalam sejarah sebanyak RM203.991 bilion pada tahun 2025.
“Kejayaan tersebut mencerminkan keberkesanan usaha memperkukuh pematuhan cukai, meningkatkan tadbir urus serta keyakinan rakyat terhadap sistem percukaian negara,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan pelaksanaan e-Invois sebagai antara reformasi percukaian paling signifikan yang berjaya meningkatkan ketelusan dan integriti data, selain menyokong pentadbiran cukai yang lebih cekap dan berteraskan teknologi.
Menurutnya, sejak pelaksanaan sistem itu, HASiL berjaya mengutip cukai tambahan sebanyak RM1.009 bilion dengan lebih 52,000 pembayar cukai tampil membuat pengakuan sukarela pendapatan mereka.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut memperkenalkan Program Pengakuan Sukarela e-Invois sehingga 31 Disember 2027 bagi membolehkan pembayar cukai mengemas kini, menyemak atau membetulkan maklumat tanpa dikenakan penalti.
Amir Hamzah berkata, Malaysia juga komited melaksanakan kerangka Global Minimum Tax Framework di bawah OECD/G20 Inclusive Framework serta memperkukuh pematuhan harga pindahan dan mekanisme pertukaran maklumat antarabangsa bagi memastikan asas hasil negara terus terpelihara.
Beliau menegaskan sistem cukai yang moden, cekap dan dipercayai akan terus menjadi asas penting dalam meningkatkan daya saing Malaysia serta menyokong agenda transformasi ekonomi negara pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















