LUAR NEGARA

Wanita maut dalam letupan pasar raya di Kumamoto diarah masuk semula selamatkan wang

TOKYO – Dua pekerja wanita yang terkorban dalam letupan gas di pusat beli-belah Aeon susulan gempa bumi di Kumamoto baru-baru ini telah berjaya menyelamatkan diri namun diarah masuk semula ke bangunan berkenaan untuk menyelamatkan wang hasil jualan.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka Habita semalam mengakui arahan tersebut diberikan oleh pihak pengurusan dan memohon maaf kepada keluarga mangsa, selain menyerahkan laporan bertulis mengenai kejadian itu.

“Mangsa mulanya telah berpindah ke kawasan selamat selepas gempa bumi bermagnitud 7.1 yang melanda pulau Kyushu.

“Bagaimanapun, mereka diarahkan kembali ke dalam bangunan untuk memindahkan hasil jualan hari berkenaan ke peti besi di tingkat bawah,” lapor agensi berita Xinhua.

Tidak lama kemudian, satu letupan kuat yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas memusnahkan sebahagian bangunan pusat beli-belah itu dan mengorbankan kedua mereka dan tujuh yang lain.

Pengurus jualan Habita yang berpangkalan di Kumamoto, Koji Yuse, 64, mengakui beliau mengarahkan pengurus kedai meminta kedua-dua pekerja itu masuk semula ke bangunan bagi menyimpan wang hasil jualan dari kedai di tingkat dua ke peti besi di tingkat satu.

“Saya mengakui arahan itu tidak wajar. Saya amat menyesal,” katanya dalam sidang akhbar.

Sementara itu, kerajaan wilayah Kumamoto memaklumkan jumlah kematian akibat gempa bumi tersebut meningkat kepada 36 orang setakat pagi ini, manakala dua lagi kematian masih dalam siasatan bagi menentukan sama ada berkaitan dengan bencana itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button