Asas ekonomi Malaysia masih kukuh – Menteri Ekonomi
PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan bahawa asas ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun dunia berdepan ketidaktentuan krisis tenaga global, dengan pelbagai langkah mitigasi dilaksanakan bagi melindungi kesejahteraan rakyat dan memastikan momentum pertumbuhan negara tidak terjejas.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, konflik geopolitik di Asia Barat telah menyebabkan gangguan besar kepada aliran tenaga dunia, sekali gus meningkatkan ketidakpastian pasaran global.
Menurut beliau, walaupun terdapat persetujuan gencatan senjata sementara pada 8 April, kegagalan rundingan damai pada 13 April serta pengumuman sekatan maritim oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas pelabuhan Iran terus mengekalkan risiko terhadap laluan tenaga utama dunia, khususnya di Selat Hormuz.
“Harga minyak mentah Brent menurun kepada sekitar AS$99.36 (RM392) setong selepas pengumuman gencatan senjata, namun kembali melonjak kepada AS$132.05 (RM521) setong, menunjukkan potensi peningkatan harga yang berterusan,” katanya pada sesi Taklimat Krisis Tenaga Global, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan premium insurans sehingga 16 kali ganda serta kos pengangkutan yang hampir dua kali ganda memberi kesan langsung kepada harga diesel, petrol dan kos sara hidup rakyat.
“Walaupun berdepan cabaran luaran, Malaysia masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh.
“Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara antara 4 hingga 5 peratus pada 2026, manakala Bank Dunia menganggarkan pertumbuhan sekitar 4.4 peratus.
“Inflasi pula kekal rendah pada kadar 1.4 peratus setakat Februari 2026, dengan kadar pengangguran stabil pada 2.9 peratus.
“Ini bermakna mesej kita jelas iaitu asas ekonomi negara masih kukuh, namun risiko luaran sedang meningkat. Kita tidak boleh terlalu selesa dan pada masa yang sama tidak boleh terlalu gelisah.
“Kita perlu mendepani situasi ini sebagai satu ‘normal baharu’ di mana harga minyak dijangka kekal lebih tinggi berbanding sebelum krisis,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








