Permohonan dokumen pengenalan JPN perlu lalui tapisan ketat
PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan terlibat memberi jaminan kelulusan permohonan dokumen pengenalan diri kepada individu tertentu seperti yang tular di media sosial baru-baru ini .
“JPN menjelaskan bahawa surat bertarikh 26 April 2019 yang didakwa ditandatangani oleh bekas Ketua Menteri Sabah berkaitan permohonan dokumen pengenalan diri bagi seorang individu dari Semporna, tidak menjamin sebarang kelulusan automatik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut kenyataan itu, setiap permohonan bagi dokumen seperti MyKAS, MyPR dan MyKAD adalah tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang berkuat kuasa.
JPN menegaskan bahawa semua permohonan dinilai secara menyeluruh berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“JPN tidak akan meluluskan permohonan secara sewenang-wenangnya walaupun disertakan surat sokongan daripada mana-mana pihak,” katanya.
Tambahnya lagi, sebarang bentuk sokongan termasuk daripada pemimpin politik, agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan tidak membawa jaminan kelulusan.
Setiap permohonan tetap akan melalui proses tapisan dan verifikasi yang ketat termasuk semakan fakta dan latar belakang pemohon.
Sementara itu, JPN turut menjelaskan MyKAS adalah dokumen pengenalan diri sementara yang diberikan kepada individu lahir di Malaysia tetapi status kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan.
Pemegang MyKAS tidak memperoleh sebarang kelebihan dari segi kewarganegaraan dan perlu memenuhi syarat ketat sebelum boleh memohon MyPR dan seterusnya MyKAD.
Jabatan itu menegaskan komitmen untuk terus memastikan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri dijalankan secara telus dan profesional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








