BERITA SEMASA

HASiL semarak Hari Kebangsaan ke-69, tegaskan tanggungjawab percukaian demi kesejahteraan rakyat

CYBERJAYA – Semangat kemerdekaan bukan sekadar diterjemahkan melalui kibaran Jalur Gemilang, sebaliknya dizahirkan menerusi kesediaan setiap rakyat melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi memastikan kemajuan dan kesejahteraan negara terus dipelihara.

Bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyertai perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya sebagai tanda komitmen warga agensi itu dalam menggalas amanah sebagai pentadbir cukai langsung negara.

Menurut HASiL, penyertaan kontinjen HASiL yang menghimpunkan 47 pegawai bukan sahaja mencerminkan semangat patriotisme warga kerja, malah membawa mesej bahawa pelaksanaan tanggungjawab percukaian merupakan sebahagian daripada sumbangan bersama dalam membangunkan negara serta memelihara kesejahteraan rakyat.

“Sebagai agensi yang diamanahkan mengurus pentadbiran cukai langsung negara, HASiL terus memainkan peranan memastikan kutipan hasil dilaksanakan secara adil, cekap dan berintegriti.

“Langkah itu penting bagi menyokong keupayaan kerajaan membiayai pembangunan serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil
Bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyertai perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.

HASiL berkata, penghayatan terhadap erti kemerdekaan turut diterjemahkan menerusi komitmen untuk mendekati masyarakat dan meningkatkan kefahaman mengenai tanggungjawab percukaian.

Menurutnya, pematuhan cukai bukan sekadar suatu kewajipan, sebaliknya tanggungjawab bersama bagi memastikan pembangunan negara dapat diteruskan dan kesejahteraan rakyat diperkukuh.

Selaras dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, HASiL melihat kesejahteraan rakyat sebagai hasil daripada usaha bersama seluruh lapisan masyarakat dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

Sehubungan itu, HASiL akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan percukaian yang mudah, telus dan responsif bagi meningkatkan pengalaman pembayar cukai, selain memupuk budaya pematuhan secara sukarela demi membina sistem
percukaian yang mampan.

HASiL turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menghayati erti kemerdekaan dengan melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi memastikan negara terus maju, stabil dan makmur untuk generasi akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button