Tabika, Taska Perpaduan terima peruntukan RM55.5 juta bagi sesi 2026
SEPANG – Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM55.5 juta bagi memperkukuh perkhidmatan serta kebajikan murid Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan di seluruh negara untuk sesi persekolahan tahun 2026.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan awal kanak-kanak terus diberi keutamaan, khususnya dalam membentuk asas perpaduan sejak usia muda.

Menurut beliau, dana tersebut merangkumi pelbagai inisiatif termasuk bantuan makanan tambahan, geran per kapita, perlindungan insurans, kit permulaan persekolahan serta penambahbaikan kemudahan Tabika Perpaduan agar lebih kondusif dan selamat untuk murid.
“Langkah ini bukan sahaja membantu meringankan beban ibu bapa, malah memberi motivasi kepada murid untuk memulakan sesi pembelajaran dalam persekitaran yang lebih selesa dan berkualiti,” katanya ketika berucap pada Program Santuni Murid Tabika Perpaduan Kembali Ke Tabika Perpaduan Sesi 2026 di Tabika Perpaduan Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini hari ini.

Ucapan Menteri Perpaduan Negara telah dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid.
Antara pecahan utama peruntukan itu ialah RM24.39 juta bagi Bantuan Makanan Tambahan, RM20 juta untuk program Tabika Perpaduan Kondusif melibatkan kerja-kerja pembaikan, serta RM2.29 juta bagi penyediaan kit permulaan murid yang merangkumi pakaian seragam, beg galas, selimut dan tuala.

Selain itu, peruntukan turut disalurkan bagi pembelian peralatan pengajaran dan pembelajaran, penambahbaikan aspek keselamatan serta pelaksanaan program pengukuhan profesionalisme guru Tabika dan pendidik Taska Perpaduan.
Aaron berkata, seramai 33,307 murid berusia empat hingga enam tahun mendaftar di 1,781 Tabika Perpaduan, manakala 998 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun mengikuti pembelajaran di 41 Taska Perpaduan di seluruh negara bagi sesi tahun ini.
“Taska dan Tabika Perpaduan merupakan antara pusat pendidikan awal kanak-kanak yang menawarkan perkhidmatan percuma tanpa sebarang bayaran, sekali gus memastikan akses pendidikan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, mulai tahun ini, Tabika Perpaduan akan melaksanakan Kurikulum Prasekolah baharu yang memberi penekanan kepada nilai perpaduan, hormat-menghormati dan kasih sayang sejak peringkat awal.
“Inisiatif ini selari dengan aspirasi kementerian untuk membina negara bangsa melalui pembentukan generasi muda yang berjiwa patriotik serta berupaya menjadi ejen perubahan sosial pada masa hadapan,” katanya lagi.
Tambah beliau, modul khas seperti Rukun Negara dan Bahasa Ketiga melibatkan Tamil, Mandarin, Iban dan Kadazan yang dibangunkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut akan diselaraskan dalam pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








