PM Anwar sempurnakan Sambutan Minggu Perpaduan 2024
JOHOR BAHRU – Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan secara rasminya telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan Angsana Mall di sini, malam ini.
Menurut Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, sambutan yang diraikan dengan tema “Perpaduan Dalam Kepelbagaian” ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan, kepelbagaian adat dan budaya di Malaysia.
Katanya, sambutan ini merupakan satu inisiatif yang menyokong kepada aspirasi Malaysia Madani dengan mewujudkan Kerangka Membangun Malaysia Madani.
“Kerangka tersebut dibangunkan menerusi konsep perpaduan dalam kepelbagaian bagi menyusun agenda perpaduan berpandukan Dasar Perpaduan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Menteri Perpaduan berkata, bermula pada tahun lepas, KPN telah memperkenalkan Kembara Perpaduan Malaysia Madani yang merupakan program flagship dengan menerajui inisiatif di bawah agenda perpaduan nasional merangkumi tiga kluster utama iaitu Semarak Perpaduan, Semarak Kenegaraan dan Komuniti Rahmah.
“Sambutan ini adalah program di bawah kluster Semarak Perpaduan dan merupakan sambutan kali yang kedua selepas penganjuran but julung kalinya di Kuching, Sarawak pada tahun lalu.
“Pengisian utama sambutan ini adalah berbentuk kenegaraan, kebudayaan, kesenian dan warisan melalui pelbagai mekanisme seperti interaksi dan jalinan hubungan sosial secara berterusan pada peringkat “inter” dan “intra” etnik dengan penuh berhemah.
“Justeru itu, ianya dapat menggalakkan persefahaman, toleransi, hormat-menghormati antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, perpaduan sepatutnya menjadi cara hidup bagi setiap rakyat Malaysia, bukan sekadar sesuatu yang indah di atas kertas atau dalam lagu-lagu semata.
“Perpaduan adalah asas utama yang memperkuat semangat kebangsaan dan jati diri tinggi dalam kalangan seluruh rakyat. Usaha ini dianggap sebagai pelaburan besar bagi generasi akan datang, dengan kepentingan bagi setiap individu dan pemimpin untuk memperkasa perpaduan.
“Keharmonian perlu dipelihara, dipupuk dan diterapkan dalam diri bermula daripada diri sendiri dan kemudian diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Kita semua perlu ingat, setiap daripada kita bertanggungjawab dan berperanan dalam menjaga keharmonian, kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara yang dicintai,” ujarnya.
Terdahulu, KPN telah mengadakan Jelaiah Kembara Perpaduan dengan Negeri Sabah sebagai destinasi pertama, dilkuti oleh negeri Sarawak, WP Labuan, Terengganu, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan mewakili zon.
Negeri Johor dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan dengan harapan agar dapat menguatkan lagi semangat patriotik dan kesetiaan kepada negara.
Dalam pada itu, Aaron berkata, KPN komited menyemarak semangat perpaduan, kenegaraan, kebersamaan, muhibah, dan kesukarelawan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik, agama, dan budaya.
“KPN akan mempergiat usaha untuk memperkukuh perpaduan melalui pelbagai inisiatif antaranya pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif, penyuburan minat terhadap khazanah warisan negara, dan meningkatkan keharmonian antara penganut agama, serta melahirkan pemimpin sukarelawan siswa,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








