BERITA SEMASA

Pearly Tan-M Thinaah antara 8 atlet dilantik Ikon Perpaduan Tahun 2025

PUTRAJAYA – Naib Juara Kejohanan Badminton Dunia, Pearly Tan-M. Thinaah merupakan antara lapan wira sukan negara dilantik sebagai Ikon Perpaduan Tahun 2025.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memaklumkan, turut dilantik pasangan beregu, Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani serta Wan Muhammad Arif Shaharudin-Yap Roy King di samping beregu dart negara, Tengku Hadzali Tengku Mustaffar-Tan Jenn Ming.

“Sukan merupakan wadah yang paling ampuh dalam memupuk semangat perpaduan, keharmonian serta kebersamaan rakyat Malaysia.

“Setiap kali atlet negara ini berentap di persada dunia, seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang berdiri teguh di belakang mereka, bersatu hati menyokong Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh bangga,” kata KPN dalam satu kenyataan, hari ini.

KPN turut berkata, atlet yang dipilih bukan sahaja berjaya mencipta kejayaan di pentas antarabangsa, malah menjadi teladan dengan membuktikan semangat kesukanan mampu meruntuhkan tembok perbezaan serta memperkukuh semangat Malaysia

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama turut berkata, beliau berharap supaya semua Ikon Perpaduan dilantik dapat terus menyebarkan mesej perpaduan dan menanam benih keharmonian dalam kalangan rakyat.

Perkara ini adalah selaras aspirasi Malaysia untuk membina sebuah negara bangsa yang aman, harmoni dan bersatu padu.

“Kementerian percaya dengan semangat dan iltizam yang ditonjolkan oleh ikon-ikon ini, nilai-nilai perpaduan dapat terus disemarakkan sekali gus menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu identiti kebangsaan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button