11 alumni YSS, 18 sukarelawan Singapura jayakan YEP 2025 di Belaga
BELAGA – Seramai 11 alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) bersama 18 sukarelawan Youth Corps Singapore (YCS) menjadi nadi utama pelaksanaan Youth Expedition Project (YEP) 2025 di Umar Belor Leo Dian, Sungai Asap di sini.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan YEP 2025 mengumpulkan golongan muda dari Malaysia dan Singapura untuk belajar, berkhidmat dan berkembang bersama melalui aktiviti sukarelawan dan ikatan persahabatan pada 13 hingga 23 Disember lalu.

Merasmikan majlis perasmian penutupan YEP 2025, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program itu dilaksanakan selaras dengan komitmen kementeriannya untuk memperkukuh perpaduan nasional melalui penglibatan belia yang inklusif dan berimpak.
“Program ini diadakan bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia–Singapura, sekali gus mengukuhkan hubungan belia serantau,” katanya.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, antara projek-projek utama yang dilaksanakan semasa YEP 2025 adalah pemasangan lampu solar, pembinaan tapak pengumpulan sampah, projek transformasi digital dan literasi teknologi.
Dalam pada itu, Aaron berkata, dengan menggabungkan elemen pembelajaran, pengalaman sukarelawan dan interaksi budaya, YEP 2025 diharapkan menjadi platform bagi membentuk generasi belia yang berdaya saing serta memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Singapura.
“KPN melalui Yayasan Sukarelawan Siswa akan
memberi tumpuan yang lebih menyeluruh dalam melahirkan barisan pemimpin sukarelawan yang berwibawa, berdaya saing dan berjiwa rakyat.
“KPN juga akan menyokong usuha dalam memacu agenda perpaduan, keharmonian sosial dan pembangunan negara secara mampan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








