BERITA SEMASA

Minggu Perpaduan 2026 perkasa keharmonian, libatkan enam zon bermula April hingga Jun

PUTRAJAYA – Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2026 akan dilaksanakan di enam zon seluruh negara bermula April hingga Jun ini dalam usaha menyemarakkan semangat perpaduan serta memperkukuh kefahaman rakyat terhadap kepelbagaian adat dan budaya di Malaysia.

Majlis perasmian sambutan berkenaan dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 13 Jun ini, sekali gus menjadi kemuncak kepada penganjuran program tahunan tersebut.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, SMP yang memasuki tahun keempat penganjurannya kali ini mengangkat tema “Bersama Membina Negara Bangsa”.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar acara utama Kementerian Perpaduan Negara (KPN), malah menjadi platform penting dalam memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum serta memastikan keamanan negara terus terpelihara.

“Perpaduan yang utuh merupakan benteng utama dalam mengekalkan kestabilan dan kesejahteraan Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penganjuran SMP turut bertujuan memperluas pengetahuan, kefahaman serta penghayatan masyarakat terhadap nilai perpaduan sebagai asas kepada keharmonian negara.

Sementara itu, KPN memaklumkan sambutan berkenaan akan dimulakan di Zon Timur pada 9 hingga 11 April di AEON Kota Bharu, Kelantan, diikuti Zon Utara pada 23 hingga 26 April di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

Menurut kenyataan itu, sambutan seterusnya akan berlangsung di Zon Sarawak dan Zon Selatan masing-masing pada 8 hingga 10 Mei di Boulevard Shopping Mall, Miri serta Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka.

Bagi Zon Tengah, program dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 17 Mei di Muzium Negara, Kuala Lumpur, manakala acara peringkat kebangsaan akan diadakan pada 11 hingga 14 Jun di pekarangan Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung daripada semua lapisan umur termasuk Pertandingan Sukan Rakyat Perpaduan, Pameran Rumah KAMI (Rumah Etnik), Perkampungan Etnik, Jejak Harmoni, Wacana Negara Bangsa, Larian Uniti, pameran muzium dan arkib, persembahan silang budaya serta jualan produk ekonomi komuniti Rukun Tetangga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button