CCTV dedah kematian kucing di UM akibat serangan anjing liar – Polis
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kematian beberapa ekor kucing di kawasan Universiti Malaya (UM), di sini, baru-baru ini berpunca daripada serangan sekumpulan anjing liar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pendedahan itu adalah hasil siasatan yang dijalankan menerusi semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Jelas beliau, hasil semakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengesahkan kecederaan yang dialami kucing-kucing tersebut adalah akibat serangan haiwan liar.
“Polis telah menerima tiga laporan berhubung kejadian kematian kucing di pusat pengajian tinggi tempatan tersebut pada Selasa, Jumaat dan semalam. Bagaimanapun, tiada saksi yang menyaksikan kejadian tersebut berlaku.
“Melalui hasil semakan rakaman CCTV di sekitar kawasan yang terlibat mendapati sekumpulan anjing liar yang telah bertindak menyerang kucing-kucing tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.
Tambah kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau melaporkannya ke balai polis berhampiran.
“Aduan rasmi berhubung penganiayaan haiwan juga boleh dibuat menerusi laman web Jabatan Perkhidmatan Veterinar di pautan awa.dvs.gov.my bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap individu yang terlibat,” katanya.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial berhubung beberapa ekor kucing didakwa diperlakukan dengan kejam apabila dibelah perut selain keempat kaki telah dipotong di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya.
Susulan itu, hantaran terbabit turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








