KMUM kecam pementasan teater berunsur tidak senonoh di Universiti Malaya
KUALA LUMPUR – Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengecam sekeras-kerasnya sebuah pementasan teater oleh salah satu pasukan teater kolej universiti itu yang didakwa mengandungi unsur tidak senonoh serta melanggar norma kesopanan dan nilai agama Islam.
KMUM dalam satu kenyataan menegaskan, pementasan seni seharusnya menjadi medium untuk memperkasa intelektual dan pembangunan sahsiah mahasiswa, bukannya ruang untuk menormalisasikan kandungan tidak bermoral yang mencetuskan ketidakselesaan dalam kalangan warga kampus.
Menurut kesatuan itu, walaupun kebebasan berkarya dalam bidang seni dihormati, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan sensitiviti masyarakat serta identiti institusi pendidikan tinggi.
“KMUM menegaskan bahawa kami menghormati kebebasan berkarya dalam ruang seni, namun ia bukan lesen untuk mengabaikan sensitiviti masyarakat dan identiti institusi pendidikan tinggi.
“Karya seni yang dihasilkan dalam lingkungan kampus seharusnya mencerminkan kematangan intelektual serta tanggungjawab sosial yang tinggi,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, KMUM mengemukakan beberapa tuntutan tegas termasuk permohonan maaf secara terbuka oleh pasukan teater yang terlibat dalam tempoh 24 jam.
“Pasukan teater terbabit wajib mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh warga kampus dalam tempoh 24 jam atas kandungan yang dipersembahkan.
“Kegagalan berbuat demikian menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap sensitiviti komuniti yang majoritinya beragama Islam serta nilai murni institusi,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, KMUM turut meminta pihak penganjur bertanggungjawab dan perlu mengambil tindakan segera terhadap isu berkenaan.
“Penganjur tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan yang dipersembahkan di bawah program mereka.
“Tindakan dan siasatan mesti dilakukan serta-merta tanpa sebarang kompromi terhadap kandungan tidak bermoral,” tambahnya.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim di atas pentas.
Difahamkan, rakaman tersebut adalah sebahagian daripada pementasan teater yang diadakan di universiti berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















