Pasangan lakukan perbuatan tak senonoh di tanah perkuburan dibebaskan awal
GEORGETOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membebaskan lebih awal sepasang tertuduh yang sebelum ini dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan di Batu Gantung, Ayer Itam, bulan lalu.
Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan hukuman jenayah yang difailkan peguam bela, Naran Singh, mewakili tertuduh, M Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37.
Menurut beliau, mahkamah bersetuju mengetepikan hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan sebelum ini dan menggantikannya dengan hukuman penjara bermula tarikh tangkapan pada 23 Mac lalu sehingga hari ini, namun sabitan bersalah terhadap kedua-dua tertuduh dikekalkan.
“Mahkamah tiada alasan untuk menolak persetujuan antara pihak pendakwaan dan pembelaan berdasarkan representasi yang dikemukakan,” katanya ketika membuat keputusan hari ini.
Sebelum ini, pada 26 Mac lalu, kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mereka didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau di kawasan tanah perkuburan Cina di Batu Gantung pada jam 8.30 pagi, 22 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohamed Jaafar, memaklumkan pihaknya menerima surat representasi daripada pihak pembelaan berhubung semakan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.
Katanya, pihak pendakwaan bersetuju dengan cadangan supaya sabitan dikekalkan namun hukuman pemenjaraan dikurangkan selaras dengan representasi tersebut.
Dalam hujahannya, Naran menyifatkan hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan sebelum ini sebagai berlebihan memandangkan hukuman maksimum bagi kesalahan itu adalah dua tahun.
“Kami memohon agar hukuman itu digantikan dengan tempoh pemenjaraan dari tarikh tangkapan sehingga tarikh keputusan hari ini,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan mengendalikan kes tersebut secara pro bono kerana berpandangan ia wajar diberi perhatian oleh Mahkamah Tinggi serta badan berkaitan termasuk Majlis Peguam.
Kes berkenaan menarik perhatian selepas tindakan pasangan itu melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam mencetuskan kecaman masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















