Polis siasat tindakan penunggang motosikal kuasa tinggi guna lorong kereta lori Jambatan Kedua Pulau Pinang
NIBONG TEBAL – Polis sedang menyiasat tindakan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi menunggang di lorong dikhaskan untuk kereta dan lori di Kilometer 0.4 Jambatan Kedua Pulau Pinang, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, siasatan mendapati insiden berlaku pukul 4.35 petang, Jumaat lalu.
“Perbuatan mereka ini adalah sangat berbahaya, bukan sahaja kepada penunggang itu sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan keselamatan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Terdahulu, video kejadian tersebut turut menjadi tular di media sosial.
Video berdurasi 33 saat itu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi berkonvoi dengan menunggang di lorong yang dikhaskan untuk kereta dan lori.
Perbuatan itu mendapat kecaman warganet yang menyifatkan mementingkan diri sendiri apabila tidak mengutamakan aspek keselamatan di jalan raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






