BERITA SEMASA

Pasangan 42 tahun hidup tanpa zuriat, kekal bahagia dan saling setia

KUALA LUMPUR – Keinginan untuk memiliki cahaya mata merupakan impian kebanyakan pasangan yang mendirikan rumah tangga, namun ada juga yang diuji dengan perjalanan hidup tanpa zuriat dan tetap memilih untuk terus bahagia bersama pasangan.

Itu perkongsian yang dimuat naik seorang pengguna di platform Threads, @its.sueeeeeee_ mengenai kisah sepasang suami isteri berusia 74 dan 64 tahun yang telah mendirikan rumah tangga selama 42 tahun tanpa dikurniakan cahaya mata, namun kekal tabah dan setia menjalani kehidupan berdua.

Pasangan tersebut berkongsi pengalaman hidup mereka ketika menonton satu rakaman eksperimen sosial membabitkan seorang lelaki yang meminta bantuan untuk membeli susu anak.

zuriat
Pasangan berusia 64 dan 74 tahun ini memilih reda dengan takdir hidup mereka yang tidak dikurniakan cahaya mata.

Situasi itu jelas mengimbau kembali pengalaman mereka sendiri yang tidak pernah berpeluang membesarkan zuriat.

“Kitorang dah 42 tahun kahwin, tak ada zuriat. Sebab tu bila mak cik dengar, mak cik sedih. Kami tak boleh dengar orang nak beli susu anak ke, kitorang tak boleh,” luah wanita berkenaan.

Menurutnya, mereka pernah berusaha mendapatkan zuriat ketika usia masih muda, namun akhirnya memilih untuk reda dengan ketentuan Ilahi apabila usia semakin meningkat.

“Mungkin dulu adalah, tapi bila dah berumur, dah redalah. Reda je. Dan jaga diri masing-masing,” katanya.

Wanita itu turut berkongsi bahawa beliau pernah menjalani pembedahan dan ditawarkan rawatan kesuburan oleh doktor, namun menolak kerana faktor usia.

“Doktor kata, ‘Makcik nak buat treatment tak?’ Makcik kata tak payahlah sebab umur makcik masa tu dah 47. Sekarang kalau makcik nak buat treatment pun, nanti takut anak Down Syndrome,” katanya.

Pasangan itu turut memaklumkan mereka tidak mengambil anak angkat dan lebih selesa menjalani kehidupan bersama berdua sepanjang perkahwinan mereka.

Malah, hubungan mereka kekal erat sehingga menjadi kebiasaan untuk sentiasa bersama ke mana sahaja.

“Ke mana-mana pun berdua. Kalau pak cik pergi mana-mana seorang, mesti orang tanya lagi seorang mana?” katanya.

Perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang rata-ratanya tersentuh dengan ketabahan pasangan berkenaan, selain mendoakan agar mereka terus dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan.

Rata-rata netizen turut menyifatkan kisah itu sebagai bukti bahawa kebahagiaan rumah tangga tidak semestinya diukur melalui kehadiran anak, sebaliknya turut dibina melalui kasih sayang, kesetiaan dan sokongan antara suami isteri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button