Masa depan Pesta Pulau Pinang masih jadi tanda tanya
GEORGETOWN – Selepas hampir enam dekad menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan rakyat, Pesta Pulau Pinang kini berdepan masa depan tidak menentu apabila kerajaan negeri memutuskan untuk merehatkan penganjurannya selama enam tahun bermula tahun depan.

Langkah itu dibuat bagi memberi laluan kepada projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang akan dibangunkan di kawasan Tapak Pesta Sungai Nibong.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri masih meneliti pelan induk pembangunan semula kawasan terbabit bersama agensi berkaitan dan MRT Corp, termasuk pembinaan depoh, stesen LRT serta penempatan semula Terminal Sungai Nibong.

Menurutnya, keputusan mengenai sama ada pesta akan diadakan semula atau menggunakan tapak sementara hanya dapat dibuat selepas pelan tersebut dimuktamadkan.
“Kalau pesta dihidupkan semula, ia tidak akan sebesar sekarang kerana sebahagian tanah diperuntukkan untuk depoh dan kemudahan lain.
“Kita tunggu pelan induk siap. Jika ada lokasi sesuai, mungkin pesta boleh dianjurkan sementara, namun perkara itu masih dikaji,” katanya ketika merasmikan Pesta Pulau Pinang 2025/2026 edisi ke-59, di Tapak Pesta Sungai Nibong, semalam.

Beliau berkata, MRT Corp dijangka mengambil alih kawasan pesta pada April depan sebelum memulakan pembangunan hab berorientasikan transit (TOD) yang turut merangkumi kediaman dan pembangunan bercampur.
LRT Laluan Mutiara bakal meliputi 29.5 kilometer merentasi 21 stesen termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Zon Perindustrian Bebas, Georgetown dan Penang Sentral.
Pesta Pulau Pinang mula dianjurkan pada 1966 di Padang Kota Lama dan Lebuh Macallum sebelum berpindah ke Sungai Nibong pada 1974.
Sejak itu, ia menarik sehingga setengah juta pengunjung setiap tahun.
Dengan perubahan besar yang akan berlaku, rakyat negeri kini menantikan keputusan kerajaan berhubung masa depan pesta yang sudah menjadi tradisi sejak hampir 60 tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








