UM akan tambah dewan bedah di PPUM selepas kejayaan pembedahan pindah hati bayi
KUALA LUMPUR – Susulan kejayaan pembedahan pemindahan hati melibatkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini, Universiti Malaya (UM) merancang untuk menambah bilangan dewan bedah di pusat perubatan berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, penambahan bilik bedah itu akan memperkukuh infrastruktur, kemudahan rawatan kritikal serta sistem sokongan bagi pasukan kepakaran perubatan.
“Komitmen ini akan memastikan kepakaran doktor, pakar bedah, jururawat dan anggota kesihatan UM terus diperkasa dengan kemudahan dan sokongan terbaik.
“Ia bukan sekadar untuk terus berkhidmat kepada rakyat, malah bertujuan menyelamatkan nyawa serta memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat dan negara,” katanya.
Sementara itu, Noor Azuan turut memberi penghargaan kepada kakitangan PPUM yang bertanggungjawab menyelamatkan bayi yang melalui pembedahan pemindahan hati itu.
“Kejayaan luar biasa ini membuktikan kepakaran bertaraf dunia, ketelitian klinikal pada saat getir serta kekuatan kerjasama berpasukan yang didukung oleh nilai kemanusiaan dan tanggungjawab profesional.
“Ia bukan sahaja kejayaan klinikal malah membuktikan bagaimana komitmen UM terhadap penyelidikan bertaraf dunia diterjemahkan kepada impak sebenar kepada pesakit,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan klinikal dan kerangka rawatan yang digunakan dalam kes itu adalah berasaskan dapatan penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Pediatric Surgery International.
“Hasil penyelidikan UM ini sudah dirujuk serta diguna pakai di peringkat global dan kini terbukti berjaya menyelamatkan nyawa melalui pelaksanaan klinikal di PPUM.
“Ini mencerminkan semangat UM di mana penyelidikan berkualiti tinggi, inovasi dan piawaian global tertinggi diperkukuh dalam amalan rawatan klinikal bagi manfaat Malaysia dan dunia,” katanya.
Pada masa sama, Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Mohd Zulkiflee Abu Bakar berkata, bayi yang diselamatkan dalam pembedahan bersejarah itu adalah penerima pemindahan hati termuda dan seberat 6.2 kilogram.
“Pembedahan itu sekali gus menjadi rekod dalam sejarah perubatan Malaysia memandangkan bayi itu mengalami kegagalan hati akut dan rebah beberapa minit sebelum pembedahan dijalankan.
“Justeru, bayi itu memerlukan usaha rawatan rapi serta bantuan resusitasi selama lebih sejam di Unit Rawatan Rapi Pediatrik.
“Selepas pasukan perubatan berjaya menstabilkannya, keputusan klinikal yang berani dan kritikal dibuat untuk meneruskan pembedahan, langkah yang akhirnya berjaya menyelamatkan nyawanya,” katanya.
Dalam kenyataan sama, bapa kepada bayi berkenaan, Tan Hock Siong, menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua staf PPUM yang terbabit kerana membantu bayi beliau.
“Saya sangat berharap anak saya terus sihat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







