Armada Global Sumud Flotilla dijangka masuk zon merah 7 petang esok
SEPANG – Armada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka berdepan situasi genting apabila memasuki zon merah dalam tempoh 28 jam lagi iaitu sekitar pukul 7 malam waktu Malaysia esok.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu hati melaksanakan solat hajat serta bacaan doa qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan semua peserta misi.
“Pihak sekretariat telah mengambil langkah bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang pelayaran.
“Kami mohon doa rakyat Malaysia agar misi ini dipermudahkan Allah SWT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SNCC juga mengesahkan semua kapal berjaya memasuki Yellow Zone 2 pada pukul 10 pagi bersamaan 3 petang waktu Malaysia.

“Jarak terkini flotilla adalah 227 batu nautika dari pesisiran Gaza.
“Setakat ini, tiada laporan serangan atau aktiviti drone mencurigakan direkodkan sejak malam tadi. Delegasi Malaysia juga dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sihat,” ujarnya.
SNCC turut memaklumkan bahawa bantuan kemanusiaan daripada Agensi Turkish Red Crescent telah disalurkan menerusi kapal laut tentera Turkiye.

Selain itu, siaran langsung CCTV dari kapal terpilih turut disiarkan di laman tracker rasmi Sumud Nusantara sebagai langkah keselamatan.
Tambah beliau, dua kapal flotilla iaitu Nusantara (Tunisia) dan Taigete (Itali) mengalami kerosakan serius dan tidak dapat meneruskan pelayaran ke Gaza.
“Bagaimanapun, kapal Sirius dan Free Willy yang mengalami kerosakan telah berjaya dibaiki dan meneruskan perjalanan.
“Sementara itu, kapal Fair Lady yang rosak kini sedang ditunda oleh kapal Estrella Manuel untuk meneruskan pelayaran,” katanya lagi.
Justeru, SNCC turut menggesa semua penyokong, media, keluarga peserta serta masyarakat agar terus menjadi penguat semangat dan tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi atau cubaan melemahkan solidariti antarabangsa ini.
“Pihak SNCC menegaskan agar semua pihak merujuk pusat ini sebagai sumber rasmi kerana sebarang maklumat tidak sahih hanya akan memenangkan propaganda Zionis,” ujar beliau.
Misi GSF menghimpunkan aktivis kemanusiaan dari 44 buah negara dengan matlamat memecahkan kepungan rejim Zionis di Gaza dan membawa bantuan barangan buat rakyat di sana.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








