Tindakan biadab gelar sukarelawan Global Sumud Flotilla sebagai pengganas – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perjuangan peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) merupakan lambang keberanian luar biasa, sambil menolak keras sebarang cubaan melabelkan mereka sebagai pengganas.
Beliau berkata, adalah tidak masuk akal untuk menggelar aktivis kemanusiaan yang membawa bantuan asas kepada rakyat Palestin sebagai pengganas, sedangkan mereka tidak memiliki senjata mahupun melakukan keganasan.
“Mereka tidak bawa senjata, tidak bunuh orang. Mereka bawa makanan, minuman dan perubatan.
“Bagaimana boleh dipanggil ‘terrorist’? Ini satu kenyataan yang biadab,” tegasnya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah, di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri lagi, kerajaan juga akan mengganti semua telefon bimbit 23 sukarelawan GSF yang telah dibuang ke laut.
“Insya-Alah, kita akan ganti kesemuanya,” katanya.
Melalui laporan media tempatan dan antarabangsa, para sukarelawan dan aktivis kemanusiaan GSF telah dilatih untuk membuang telefon bimbit ke dalam laut sebagai langkah keselamatan sekiranya kapal mereka ditahan tentera rejim.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan prosedur itu digariskan bagi mengelakkan data peribadi dan maklumat sensitif dipintas pihak tidak bertanggungjawab.
“Prosedur operasi standard (SOP) tersebut telah diterangkan dan dipraktikkan kepada semua delegasi sebelum mereka memulakan pelayaran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








