Solat hajat doakan kejayaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza
PUTRAJAYA – Solat hajat bagi mendoakan keselamatan serta kejayaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla akan dilaksanakan serentak di masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, pelaksanaan itu selaras dengan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar yang menyeru umat Islam untuk bersama-sama menunaikan Solat Hajat berkenaan.
Katanya, solat hajat tersebut akan diadakan selepas solat Zohor di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
“JAKIM menyeru seluruh umat Islam di negara ini agar menunaikan solat hajat di masjid, surau, institusi, organisasi masing-masing atau secara individu di rumah bagi sama-sama berdoa agar misi ini dipelihara Allah SWT, diberi perlindungan, kelancaran dan keberkatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Selain itu, arahan sama turut dipanjangkan kepada Masjid Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Sebanyak 24 kapal flotila dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol berlepas ke Gaza pada Ahad lalu bagi membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas, disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia.
Fasa seterusnya akan menyaksikan 15 delegasi Malaysia kumpulan kedua berlepas dari pelabuhan Itali bersama delegasi antarabangsa pada 4 September ini, serentak dengan kumpulan ketiga Malaysia yang kini berada di Tunisia.
GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








