BERITA SEMASADALAM NEGERI

TPM doakan kecekalan 34 rakyat Malaysia sertai misi Global Sumud Flotilla

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan harapan agar 34 rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) terus cekal menghadapi sebarang ancaman Israel ketika menghampiri perairan Gaza.

Beliau berkata, kumpulan itu yang bergerak bersama aktivis daripada 44 negara lain, sudah bersedia dengan kemungkinan berdepan ancaman dan intimidasi sepanjang perjalanan.

“Tadi mereka berada di lokasi kira-kira 750 batu nautika dari Gaza dan malam tadi, mereka diserang dengan dron.

Mereka memang sudah bersedia menghadapi perkara itu dan kita harap mereka cekal menghadapi apa juga ancaman daripada pihak Israel,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran IkonDesa di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut memaklumkan, beliau akan menghubungi dan bercakap dengan semua peserta Malaysia dalam misi itu esok sebagai tanda sokongan moral.

Media sebelum ini melaporkan GSF berdepan cubaan gangguan ketika menghampiri perairan Gaza. Menurut Laporan Situasi (SITREP) dikeluarkan Sumud Nusantara Command Center – MAPIM Central, gangguan berlaku ketika flotila berada di zon kelabu di perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza.

Letupan turut kedengaran sekitar pukul 1 pagi waktu tempatan, selain sekatan komunikasi dilaporkan berlaku.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata beliau yakin dengan semangat kumpulan berkenaan yang membawa misi kemanusiaan.

“Niat yang baik akan menghasilkan sesuatu yang baik,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button