Sukarelawan Sumud Flotila ke Gaza terima perkhabaran duka
KUALA LUMPUR – Keselamatan lebih 500 sukarelawan dalam misi kemanusian Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza kini menjadi tanda tanya selepas kapal perang Itali dan Sepanyol difahamkan hanya akan mengiringi mereka sehingga ke Zon Kuning.
Perkembangan itu dikongsikan seorang peserta misi, Taufiq Razif menerusi hantaran di media sosialnya semalam yang menyifatkan keadaan tersebut sebagai satu ujian besar.
“Berita duka! Kemungkinan besar kapal perang Itali dan Sepanyol tu hanya iring sampai Yellow Zone je. Lepastu kita kena hadap sendirian Zionis tu. Ya, kami hanya ada Allah,” tulisnya.
Zon Kuning dipercayai merujuk kawasan sempadan antarabangsa sebelum memasuki zon konflik yang dikawal ketat oleh rejim Zionis Israel.
Situasi berkenaan mencetuskan kebimbangan terhadap nasib sukarelawan terbabit termasuk wakil dari Malaysia yang kini menyertai konvoi itu.
Terdahulu, Sepanyol mengumumkan penghantaran kapal perang bagi melindungi flotila tersebut yang sedang menghampiri perairan Gaza.
Langkah itu diambil selepas Itali terlebih dahulu menggerakkan kapal perang mereka bagi tujuan sama susulan ancaman daripada Israel.
GSF membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan merentasi Laut Mediterranean dan dijadual tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.
Misi berkenaan menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat, dengan semua delegasi menegaskan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








