BERITA SEMASAPMX

Pertemuan dengan Trump jadi medan dialog keamanan, bantuan ke Gaza – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kelak akan menjadi medan penting bagi memastikan ruang dialog dalam menjamin keamanan dan pembukaan laluan bantuan kemanusiaan yang lebih besar untuk rakyat Gaza.

Menurut Anwar, meskipun ia bukan penyelesaian muktamad, namun langkah itu akan membuka permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman, di samping memberi ruang kepada suara keadilan dan keamanan untuk dilonjak ke pentas tertinggi.

“Ini tentunya bukan penyelesaian muktamad, dan tentunya kita tidak pula mahu sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan
melakukan lawatan dan tinjauan ke Markas Utama MAPIM untuk Global Sumud Flotilla semalam.

Baca juga : Trump ke ASEAN peluang Malaysia tegaskan isu Palestin

Dalam hantaran sama, Anwar menitipkan doa buat pasukan sukarelawan dari Malaysia serta keseluruhan sukarelawan misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang berlayar ke Gaza.

“Kecekalan para perwira berhari-hari membelah samudera demi keadilan lantas menjentik nurani dan menjadi sumber kekuatan, tidak hanya kepada warga Palestin di Gaza, tetapi juga kepada masyarakat dunia yang mengikutinya dengan rasa juang yang tinggi,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan kekal mendukung dan bersama, selain memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan, dengan keutamaan agar para perwira flotila selamat tiba ke bumi Gaza. Pasukan itu dijangka mula memasuki zon merah esok.

Anwar menegaskan, banyak negara termasuk Malaysia, Turkiye, Itali dan Sepanyol gigih menggembleng tenaga, manakala hubungan akrab di peringkat antarabangsa terus menjadi wahana penting dalam menggerakkan solidariti global.

“Sebagaimana 34 anak Malaysia yang kini bersama pasukan flotila ini, ia tentunya menjadi catatan sejarah dalam menegak keadilan dan membela kemanusiaan,” ujarnya.

Perdana Menteri menyeru agar seluruh rakyat terus berdoa kepada Allah SWT supaya usaha itu diberi perlindungan, sekali gus menjadi sinar terbaik dalam menjawab segala bentuk kezaliman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button