BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Penerjun cedera, dua selamat tersasar pendaratan dari Menara Kuantan 188

KUANTAN – Pertunjukan aksi terjun tapak (base jump) sempena Pesta Kuantan 188 bertukar cemas apabila seorang peserta cedera manakala dua lagi nyaris maut selepas tersasar daripada lokasi pendaratan dalam kejadian di Menara Kuantan 188, di sini petang semalam.

Dalam insiden kira-kira pukul 5 petang itu, ketiga-tiga penerjun terbabit dilaporkan melakukan terjunan dari puncak menara berketinggian 104 meter sebelum dibadai angin kencang yang menyebabkan mereka tersasar dari sasaran asal.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, penerjun dikenali sebagai Zainal Chik, 62, mengalami kecederaan selepas terhempas di kawasan bersimen dan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Keadaannya dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua lagi penerjun yang terselamat ialah Andrew Morcombe, 35, warga Australia yang tersangkut pada sebatang pokok berhampiran menara, serta seorang lagi peserta tempatan, Manan Mahusin, 64, yang terjatuh ke dalam Sungai Kuantan.

“Kedua-dua mereka berjaya diselamatkan oleh petugas pertunjukan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada angin kencang serta faktor teknikal semasa proses pendaratan.

Pertunjukan berisiko tinggi itu disertai 17 peserta termasuk lima penerjun antarabangsa sebagai salah satu tarikan utama Pesta Kuantan 188 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button